Menurut Ketua Komersial Kumpulan AirAsia, Siegtraund Teh, aplikasi mudah alih itu telah menerima pencalonan di anugerah berprestij World Travel Awards dalam kategori World’s Leading Low-Cost Airline App.

Beliau berkata, versi yang ditambah baik itu tersedia dalam 11 bahasa dan boleh dimuat turun dari stor aplikasi bagi iOS dan Android.

“Kami sentiasa melabur dalam teknologi dan inovasi bagi membuatkan pengalaman penerbangan lebih mudah dan seronok bagi para tetamu kami. Aplikasi serba baharu ini menawarkan tetamu kami semua yang mereka perlukan di hujung jari mereka.

“Lebih sembilan juta muat turut bagi aplikasi mudah alih ini telah diterima bagi kedua platform iOS dan Android, dan kami berharap lebih ramai akan me­nerokai kemudahan yang tersedia dengan memuat turun aplikasi mudah alih ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Teh berkata, antara ciri terbaru aplikasi mudah alih AirAsia itu adalah ciri ‘Tambah ke kalendar’, yang secara automatik me­nyambungkan jadual penerba­ngan dengan kalendar pengguna, proses tempahan lebih mudah, daftar masuk mudah alih dan urus tempahan yang membolehkan tetamu menambah tambahan lain ke dalam tempahan pe­nerbangan mereka dengan mudah.

Selain itu katanya, tetamu juga boleh menyemak status penerbangan, mendapatkan pas e-boarding (tersedia bagi penerbangan dan di lapangan terbang tertentu), serta menyemak tawaran terkini penginapan.

Aplikasi ini tersedia dalam 11 bahasa termasuk bahasa Inggeris, Malaysia, Indonesia, Cina Tradisional (Taiwan dan Hong Kong), Cina mudah (China), Thailand, Korea, Jepun, Vietnam dan Arab.

Jelas Teh, AirAsia mula memperkenalkan aplikasi mudah alih pada tahun 2010 dan merupakan antara syarikat penerbangan pertama di rantau ini yang tampil dengan aplikasi mudah alihnya sendiri.

“AirAsia sentiasa meneraju kejayaan implementasi teknologi lain seperti tempahan online, daftar masuk sendiri melalui web, kiosk dan mudah alih, self-tagging serta self-bag drop,” katanya.